Lebih Mahal Disimpan Lama

Kosmo - 27/07/2010





DI SEBALIK bangunan tiga tingkat yang terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya sebenarnya tersimpan ragam kesibukan aktiviti jual beli emas.

Menariknya, situasi itu bukannya menyaksikan jual beli barang kemas seperti gelang tangan, rantai atau anting-anting.

Sebaliknya, mereka menjalankan proses mendapatkan kepingan kilauan emas tulen berharga.

Bagaimanapun, premis yang terletak di tingkat tiga itu tidak sewenang-wenangnya dikunjungi. Anda perlu membuat temu janji khas dengan kaki tangan Public Gold supaya pagar besi utama akan dibuka.



"Sebagai langkah keselamatan, tempat kami mempunyai pengawasan yang ketat. Mereka yang ingin mendapatkan kepingan emas perlu berhadapan dengan tiga rintangan pagar besi yang dibuka secara automatik.

"Di Public Gold, mereka boleh melihat skrin paparan harga emas dunia sebagai petunjuk untuk membeli atau menjual," terang Eksekutif Pemasaran Public Fine Gold International Sdn. Bhd., Wilson Tan.

Bercerita mengenai kehebatan emas, masyarakat masa kini mula membuka minda untuk membuat pelaburan baru. Tidak lagi memfokuskan kepada penyimpanan wang semata-mata, trend pembelian kepingan emas kian popular dan mendapat sambutan.

Bahkan segelintir bakal pengantin turut memilih dinar emas sebagai hantaran mas kahwin kerana barangan berharga itu merupakan komoditi yang mempunyai nilai yang tinggi.

Meskipun tertanam beribu-ribu tahun, emas tetap berkilau dan merupakan aset paling bernilai. Emas boleh dibeli sama ada dalam bentuk syiling atau keping dari bank-bank perdagangan.

Selain itu, perbezaan yang dinilai di antara pelaburan ketulan emas dan barang kemas ialah dari segi tawaran peratusan.

"Emas keping dan emas syiling lebih tinggi nilainya iaitu 999.9 peratus berbanding emas yang telah dilebur untuk dijadikan barang kemas pula 91.6 peratus," beritahunya.

KETULENAN emas boleh diuji sebelum bersetuju untuk membeli.






Sementara itu, Pengedar Utama Public Gold, Syukor Hashim menjelaskan, Public Gold yang mendapat kelulusan dari Bank Negara menawarkan perkhidmatan jual beli emas 999.9 atau 24 karat untuk pelaburan yang selamat dan murah.

Dari segi kiraan nilai pula, Public Gold menawarkan empat produk kepingan emas 20 gram (g), 50 g, 100 g dan satu kilogram (kg).

"Harga yang dinyatakan setiap gram adalah dalam ringgit. Harganya juga sentiasa berubah-ubah, jadi mereka yang berminat lazimnya akan sentiasa memantau harga dunia.

"Orang ramai diberi kebebasan untuk membeli seberapa banyak ketulan emas bergantung kepada kemampuan masing-masing," terangnya.

Menceritakan pengalamannya menjalankan jual beli emas sepenuh masa, Syukor mendapat pendedahan awal menerusi program The Truth Revealed: Dinar and Dirham The Real True Money sejak dua tahun lalu.

Konsep kekayaan

Bermula dari situ, dia mula mengerti mengenai konsep wang dan kekayaan sebenar. Syukur banyak membuat kajian melalui pembacaan dan rujukan.

"Saya menyedari bahawa kekayaan yang sebenar bukanlah terletak pada wang kertas. Tetapi emas, perak, hartanah, ternakan dan tanam-tanaman.

"Wang kertas boleh dimanipulasikan dan boleh dicetak sebanyak mungkin sekali gus nilainya akan hilang," terangnya bersungguh-sungguh.

Bagi salah seorang kakitangan swasta, Ahmad Fithrie Ahmad Tajalie, 31, pelaburan pertama yang dikeluarkannya tahun lalu sejumlah RM38,000 untuk memiliki beberapa ketulan emas peribadi.

Disebabkan emas mempunyai nilai tinggi, dia lebih berminat untuk menambah koleksi ketulan emas untuk simpanan masa hadapan.

"Kepuasan memiliki dan menyentuh sendiri ketulan emas memang tidak dapat digambarkan. Itu yang membuatkan saya lebih berminat untuk mengumpulnya.

"Petuanya ialah bila sudah beli emas, simpan sahaja emas itu tetapi bila memerlukan dana kewangan barulah ia dijual. Lebih bagus jika ia dijual ketika harganya tinggi. Semakin lama emas itu disimpan, harganya juga semakin mahal," jelasnya.

EMAS Public Gold memaparkan cap mohor syarikat terbabit.






Seperti yang diperuntukkan oleh hukum syarak, mas kahwin merupakan pemberian wajib daripada seorang lelaki kepada bakal isterinya. Ia boleh dibayar dalam pelbagai kaedah dan apa jua bentuk mengikut kesesuaian dan kemampuan pasangan terbabit.

Lazimannya mas kahwin disempurnakan dengan wang ringgit, senaskah Al-Quran, cincin atau gelang tangan. Namun, kini syiling dinar emas telah mendapat sambutan menggalakkan sebagai mas kahwin untuk majlis perkahwinan.

Barangkali sudah tiba masanya masyarakat menerima persetujuan menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin memandangkan ia mempunyai nilai sentimental dan intrinsik yang kukuh.

Mas kahwin

Dinar emas sebagai mas kahwin sememangnya sesuai kerana ukiran kalimah syahadah dan cetakan ayat suci al-Quran secara simboliknya melambangkan ketinggian nilai kehidupan manusia berasaskan agama.

Pasangan yang telah mendirikan rumah tangga pada bulan September tahun lalu, Wan Azmir Wan Mohamad dan Nadiah Abd. Rahman turut menggunakan dinar emas sebagai mas kahwin mereka.

Masing-masing yang berusia 27 tahun menyifatkan, keputusan untuk menggunakan dinar emas kerana ingin mengembalikan tradisi masyarakat Islam yang sekian lama ditinggalkan.

"Pengetahuan penggunaan dinar emas ini dibuat setelah saya membuat sedikit rujukan pembacaan mengenainya. Dari situ saya dapati dinar emas mempunyai nilai yang semakin meningkat.

"Malah bentuknya yang cukup unik dan dinar emas juga cantik untuk disimpan. Berbeza dengan wang simpanan wang, ia mungkin tidak akan kekal lama," jelas Wan Azmir Wan Mohamad yang menyempurnakan mas kahwinnya dengan sekeping syiling dinar emas seberat 4.25 gram (22 karat) bernilai RM502 (kini bernilai RM570 tertakluk pada harga semasa).


NADIAH menerima hantaran mas kahwin dinar emas daripada suaminya, Wan Azmir.





Sementara itu, pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid berkata, dinar emas digunakan sebagai alat pertukaran mata wang paling selamat sekiranya berlaku ketidakstabilan politik dan pasaran. Dinar emas mempunyai nilai yang tetap dan boleh dijadikan simpanan tanpa memikirkan kehilangan nilai dan kuasa beli seperti wang kertas.

Pelaksanaan secara konkrit dengan susulan cadangan yang lebih serius perlu dijalankan supaya negara dapat menggunakan dinar emas dengan lebih menyeluruh.

"Skop penggunaan dinar emas sebenarnya amat luas kerana ada yang gemar menjadikan dinar emas sebagai koleksi aset yang kalis inflasi. Dinar emas berbentuk syiling juga sebagai medium pertukaran yang sah. Tetapi sejauh manakah masyarakat kita berminat menggunakannya seperti yang disarankan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya ketika dihubungi Kosmo!.


Sourcehttp://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0727&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Pelaburan Dinar Emas Direalisasikan

Utusan - 19/04/2005
Banyak orang mengetahui mengenai dinar emas tetapi berapa ramai pula yang yakin kewujudannya sebagai satu lagi alternatif pelaburan yang mampu memberikan pulangan yang baik.

Selain bebas daripada unsur-unsur riba, dinar emas ternyata mampu dijadikan instrumen pelaburan terbaik, berdasarkan sifat emas itu sendiri sebagai satu komoditi yang amat bernilai dan boleh didagangkan di seluruh dunia.

Di Malaysia, dinar emas wujud dan ia adalah satu instrumen pelaburan yang sah dan mampu memberikan pulangan yang baik selain kaedah urus niaga atau pelaburan lain.

Menurut Pengarah Urusan KPMJ Gold Sdn. Bhd. Ariff Kassim, mungkin kerana pelaburan atau urus niaga menggunakan dinar emas ini masih baru di negara ini, menyebabkan ramai yang kurang berpengetahuan mengenainya.

``Ia (pelaburan dan urus niaga menggunakan dinar emas) sebenarnya telah bermula di Malaysia dan pulangan kepada mereka yang menyertainya amat kompetitif.

``Sebagai contoh... enam bulan lepas, satu dinar emas dijual pada harga RM212 dan harga semasa bagi satu dinar ialah RM243. Bayangkan keuntungannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya di Johor Bahru baru-baru ini.

KPMJ Gold ialah anak syarikat Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor yang dilantik sebagai wakala (ejen) IGD Practice Sdn. Bhd. untuk mengembangkan penggunaan dinar emas dalam masyarakat di Johor dan Singapura.

Satu dinar ialah bersamaan 4.25 gram emas 916 dan piawaian ini ditetapkan oleh Sayidina Umar al-Khattab ketika menjadi khalifah Islam yang kedua.

Pada masa ini, dinar emas dijual dalam pecahan setengah dinar, satu dinar, dua dinar dan 20 dinar mengikut harga emas di pasaran semasa.

Menurut Ariff, melabur atau membuat urus niaga dengan dinar menepati keperluan syariah dalam usaha mewujudkan satu sistem ekonomi tanpa riba.

``Jika kita beli saham, kita sebenarnya membeli `kertas' dengan nilai tertentu berbanding membeli dinar, kita sebenarnya membeli emas yang sebenar,'' katanya.

Di Malaysia, tambah beliau, memang ada pelbagai kaedah pelaburan dan dinar emas adalah satu daripada instrumen pelaburan yang seharusnya dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Jika sebelum ini ramai yang membuka akaun simpanan tetap, akaun simpanan atau melabur di mana-mana saham amanah, kini mengapa tidak mencuba melabur melalui dinar emas sebagai satu lagi opsyen, tanya beliau.

``Infrastruktur untuk menjalankan urus niaga dinar emas kini telah wujud dan mengapa ia tidak dimanfaatkan kerana terbukti ia memberi pulangan yang baik kepada pelaburan yang dibuat,'' jelas beliau.

Sejak lima tahun lalu, katanya, harga emas di pasaran antarabangsa telah meningkat 49 peratus.

Mengenai kaedah urus niaga dan pelaburan yang dikendalikan oleh KPMJ Gold, beliau menjelaskan, mereka yang melabur boleh membeli dinar emas pada harga semasa dan menjualnya semula apabila berpendapat telah meraih keuntungan.

``Emas (dinar) yang dibeli boleh dibawa balik untuk dijadikan simpanan peribadi atau membuka akaun dan menyimpannya dengan KPMJ Gold.

``Akaun dengan kami boleh diakses 24 jam sehari melalui Internet dan kami tidak mengenakan sebarang kos tambahan untuk menyimpan dengan selamat dinar emas para pelanggan,'' jelas beliau.

Selain pelaburan berbentuk simpanan itu, Ariff berkata, dinar emas itu juga boleh dilaburkan di bawah skim Qiradh - satu skim pelaburan Islam yang berasaskan konsep al-mudharabah.

Qiradh menawarkan pulangan antara lapan hingga 11 peratus setahun - berdasarkan nilai dinar emas ketika pelaburan dibuat dan jumlah dinar yang dilaburkan.

Keuntungan yang diperoleh dibayar secara bulanan, mulai bulan pertama tanpa perlu menunggu tempoh matang (setahun).

Sejak KPMJ Gold dilantik menjadi wakala Februari lalu, katanya, sambutan terhadap pelaburan menggunakan dinar emas ini menggalakkan.

Bagaimanapun, banyak lagi yang akan dilakukan untuk mendedahkan kepada orang ramai mengenai peluang meraih pulangan melalui dinar emas.

``Kita menyasarkan untuk mencatatkan perolehan lebih RM20 juta dalam tahun pertama operasi dan berharap lebih banyak yang mengetahui manfaat melabur dalam dinar emas akan berurusan dengan kami,'' katanya.

Mereka yang berminat bagaimanapun perlu benar-benar memahami kaedah pelaburan dan pengiraan keuntungan pelaburan dibuat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan sebelum membuat sebarang komitmen.


Source - http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0419&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Public Gold Tawar Pelaburan dalam Dinar Emas

Utusan - 09/03/2009
PULAU PINANG 8 Mac - Para pelabur di negara ini kini berpeluang memiliki dinar emas dengan mudah dan pada kos yang lebih rendah melalui kemudahan yang ditawarkan oleh Public Fine Gold International Sdn. Bhd. (Public Gold).

Pengerusi Eksekutif syarikat itu, C.H. Ng berkata, untuk membeli dinar emas seseorang pelabur itu boleh menyemak harga semasa logam itu di pasaran dunia dengan melayari laman web www.publicdinar.com.

Beliau berkata, jika pelabur bersetuju dengan harga yang ditawarkan, Public Gold akan menghantar surat perjanjian melalui e-mel atau faks bersama syarat dan terma serta harga pembelian.



SEMUA dinar emas keluaran Public Fine Gold International Sdn. Bhd. mempunyai sijil ketulenan.






"Pembayaran perlu dibuat dalam tempoh satu setengah jam daripada masa surat perjanjian diterima," katanya ketika ditemui di premis syarikat berkenaan di sini semalam.

Beliau menambah, harga tawaran dinar emas Public Gold juga adalah lebih rendah berbanding harga emas di kedai-kedai barang kemas di seluruh negara.

Sebagai contoh, katanya, ketika kedai emas menjual pada harga RM135 segram baru-baru ini pihaknya menawarkan dinar emas pada harga RM115 segram.

Menurut beliau, Public Gold selaku syarikat tunggal di negara ini yang mempunyai kilang pengeluaran dinar emas juga menawarkan khidmat menyimpan syiling berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan yang dijamin lebih baik daripada bank-bank komersial.

''Untuk menjual balik anda boleh berurusan dengan pihak kami atau mana-mana pengedar dan anda akan dimaklumkan harga semasa belian dinar emas, jika bersetuju transaksi boleh dilaksanakan serta merta," katanya.

Menurutnya, semua dinar emas keluaran syarikat berkenaan mempunyai sijil ketulenan yang dikeluarkan oleh syarikat bertauliah dalam bidang tersebut.

Ng juga berkata, trend menyimpan emas semakin mendapat perhatian masyarakat pelabur sejagat ekoran situasi ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.

Menurutnya, masyarakat dunia perlu meneliti pelbagai perkara yang disuarakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyarankan dunia Islam beralih menggunakan dinar emas dalam perdagangan dua hala berbanding menggunakan dolar Amerika Syarikat.

''Saranan itu dibuat kira-kira 10 tahun lalu. Selepas membuat pelbagai kajian dan penilaian, Public Gold yang ditubuhkan setahun lalu berusaha merealisasikan penggunaan dinar emas," katanya.

Menurut beliau, syarikat yang tubuhkan dengan modal hampir RM10 juta itu sudah mencatat keuntungan dalam tempoh yang singkat dan ketika ini mempunyai kira-kira 500 pelanggan.

''Kami juga sudah menubuhkan anak syarikat di Singapura," katanya sambil menambah, pihaknya bercadang untuk menjadi sebuah syarikat senaraian awam dalam tempoh tiga tahun.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Public Gold, Branson Saw dan Bendahari Koperasi DinarMas Nakhoda Nanintan Pulau Pinang Bhd. (Kodinarmas), Abdul Wahab Hamid.

Kodinarmas yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini merupakan pengedar utama dinar emas Public Gold. Maklumat lanjut mengenai operasi koperasi berkenaan boleh diperolehi dengan melayari laman web www.kodinar.com.my.


Sourcehttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_04.htm&arc=hive
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...