Korea Beli Emas AS$1b Lindungi Ekonomi

Utusan - 03/08/2011
SEOUL 2 Ogos - Korea Selatan memperuntukan lebih AS$1 bilion bagi pembelian pertama emas dalam tempoh lebih sedekad ekoran ketidaktentuan pertumbuhan global dan tekanan hutang berdaulat bank-bank pusat dunia untuk mempelbagaikan rizab asingnya.

Bank of Korea berkata, pembelian terkini itu bernilai AS$1.24 bilion (RM3.596 bilion).

Pemulihan ekonomi global yang rapuh dan syarat-syarat hutang yang bahaya di Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan perlindungan selamat bagi emas sehingga mencecah rekod tertinggi pada Jumaat lalu.

Bank of Korea berkata, pihaknya telah membeli 25 tan emas sejak dua bulan lalu, meningkatkan jumlah emas yang ada kepada 39.4 tan.



Rizab mata wang seperti dolar dan euro telah mencatatkan kerugian sejak krisis kewangan global disebabkan polisi monetari yang tidak normal ekoran masalah defisit fiskal.

Data melibatkan 27 ekonomi utama daripada Bank Penyelesaian Antarabangsa menunjukkan nilai efektif penyelarasan inflasi dolar telah merosot sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun dan euro pula enam peratus, menggambarkan kenaikan dalam pusingan setiap mata wang.



Bagaimanapun, pegangan emas Korea Selatan masih terlalu kecil berbanding Bank-Bank Pusat Asia - dengan China menduduki tempat keenam, memiliki emas terbesar iaitu 1,054.1 tan pada akhir Mei lalu, menurut data Majlis Emas Dunia.

''Bank Pusat Korea Selatan agak terlewat tetapi para pelabur emas menjangka harga sokongan terus berlaku memandangkan bank-bank pusat di dunia ini masih kurang membuat pelaburan dalam emas,'' kata Ketua Asset Great Pacific Wealth Management, Sean McGillivray.



Bank of Korea berkata, ia merupakan pembelian pertama emas sejak 1997/98 untuk meningkatkan rizab asing.

Amerika Syarikat adalah negara terbesar memiliki emas dalam rizabnya iaitu 8,133.5 tan atau 74.7 peratus daripada jumlah rizab. - Reuters


Sourcehttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_05.htm

Prestasi Harga Emas Diunjur Terus Melonjak

Berita Harian - 02/08/2011






Pelaburan dijangka beri pulangan 24 peratus setahun

PELABURAN dalam emas diunjurkan mampu memberikan pulangan sehingga 24 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan harga logam berharga itu dijangkakan mencecah AS$2,100 seauns menjelang 2014.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata permintaan bagi emas dijangkakan terus meningkat terutama dari China serta India berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.

Beliau berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu berikutan masalah hutang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.



“Kami yakin dengan prestasi harga emas berikutan permintaannya dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan separuh kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Brice berkata, pihaknya menjangkakan harga emas mampu mencecah paras AS$1,650 seauns menjelang akhir tahun ini.

Keadaan persekitaran kadar faedah benar yang negatif di AS juga mendorong kepada peningkatan permintaan emas kerana kebiasaannya ia sangat tinggi ketika kadar faedah benar adalah negatif, jelasnya.
“Dalam tempoh Disember 2007 hingga kini, emas mencatatkan pulangan terkumpul sebanyak 43 peratus,” katanya.

Harga emas terus didagangkan kukuh mencecah AS$1,632.30 seauns Jumaat lalu berikutan data ekonomi yang lemah di AS.

Bagaimanapun, harganya jatuh 0.7 peratus kepada AS$1,615.19 pada sesi dagangan semalam berikutan persetujuan pemimpin kongres AS untuk menaikkan had hutang dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi mengelak potensi gagal membayar hutang.

Selain emas, Brice berkata, pelaburan pasaran ekuiti juga dijangka memberi pulangan baik dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata, di sebalik keadaan tidak menentu di pasaran dunia, pasaran ekuiti masih mencatatkan prestasi baik berbanding kelas aset lain.

“Pada separuh pertama tahun ini, pasaran ekuiti mampu mencatatkan aliran meningkat walaupun ada beberapa berita buruk di pasaran seperti krisis hutang di Eropah dan AS, gempa bumi di Jepun serta krisis politik di Asia Barat.

“Ini bermakna terdapat kecairan di dalam pasaran kewangan dunia ketika ini yang menggalakkan aktiviti pelaburan,” tambahnya.

Beliau berkata pasaran ekuiti di China, Korea, Taiwan dan Jepun dijangka menarik perhatian pelabur asing kerana harga sahamnya sangat murah serta menawarkan pulangan yang menarik jika dibandingkan dengan pasaran saham lain.

Source - http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Prestasihargaemasdiunjurterusmelonjak/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...