Emas Lepasi Paras AS$1,600 Seauns

Berita Harian - 19/07/2011





Pelabur alih tumpuan berikutan bimbang krisis hutang di Eropah, AS berlarutan

HARGA emas melonjak melepasi paras AS$1,600 seauns semalam, iaitu paras tertinggi dalam sejarah, berikutan belian berterusan pelabur yang mengalihkan pelaburan kepada logam berharga itu kerana bimbang masalah hutang semakin meruncing di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Harga komoditi itu terus mengukuh dalam sesi dagangan pagi semalam dengan melonjak ke paras AS$1,600.10 seauns di Pasaran Jongkong London selepas menyaksikan arah aliran meningkat sejak Jumaat.

Ketua Penyelidik di Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata ketidaktentuan terhadap penyelesaian masalah hutang di Eropah serta AS menyebabkan pelabur mengalih tumpuan terhadap emas kerana logam berharga itu dianggap sebagai pelaburan paling selamat ketika krisis.



Beliau berkata, harga emas dijangka meneruskan arah aliran menaik dengan potensi untuk mencecah AS$1,650 seauns dalam jangka sederhana dan AS$2,000 seauns dalam tempoh dua tahun.

“Kelemahan dolar AS dan euro berikutan kebimbangan masalah hutang yang semakin meruncing di negara ekonomi terbesar dunia dan rantau mata wang tunggal itu menyebabkan pelabur memilih untuk melabur dalam emas, sekali gus melonjakkan harganya,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau berkata, pelabur semakin bimbang dengan perkembangan terkini di AS selepas Presiden Barack Obama dan Parti Republikan terpaksa bekerja keras pada hujung minggu lalu bagi mencapai persetujuan menaikkan paras siling hutang negara itu.
Nazri berkata, kebimbangan pelabur kemungkinan krisis hutang di Eropah akan merebak ke Itali dan Sepanyol telah menyebabkan mata wang euro didagangkan lemah dan keadaan itu mendorong peningkatan permintaan untuk emas.

Kelmarin, Senat parti campuran bercadang membuktikan paras hutang AS dapat dikurangkan jika ia memperoleh hasil sebanyak AS$1.5 trilion hasil potongan perbelanjaan untuk tempoh sedekad.

Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan menjelang tarikh akhir pada 2 Ogos ini, ekonomi terbesar dunia itu mungkin berdepan isu kegagalan membayar hutangnya.

Ia adalah senario yang digambarkan Obama sebagai ‘kehancuran ekonomi’, sekali gus akan memberi kesan ketara pada peringkat global.

Krisis zon Euro juga terus berlanjutan berikutan penggubal dasar masih gagal memperoleh pelan penyelamat kedua untuk Greece.

Kenyataan terkini Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Jean-Claude Trichet bahawa ECB tidak dapat menerima kegagalan penebusan semula bon sebagai cagaran telah membimbangkan pelabur.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan harga emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, susulan permintaan kukuh pengguna dan pelabur.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.


Sourcehttp://www.bharian.com.my/bharian/articles/EmaslepasiparasAS_1_600seauns/Article

Harga Emas RM202.57 Segram

Berita Harian - 08/07/2011





Permintaan kukuh pengguna serta pelabur global menjelang 2014

HARGA emas dijangka meneruskan aliran meningkatnya sehingga mencecah AS$2,100 seaun atau AS$67.5 (RM202.57) segram menjelang 2014, meningkat 33 peratus berbanding harga semasa AS$1,527.2 (RM) atau AS$49.1 (RM147.32) segram susulan permintaan kukuh pengguna serta pelabur global.

Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata menjelang awal tahun depan, harga emas dijangka meningkat melepasi paras AS$1,600 seaun atau AS$51.4 (RM157.34) segram, 4.3 peratus lebih tinggi berbanding harga semasa.

Brice menjelaskan, terdapat kaitan ketara antara pendapatan isi rumah di China dan India dengan harga emas berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di dua negara pembeli emas utama dunia itu yang mana akan menggalakkan permintaan logam berharga berkenaan.

Kumpulan perbankan universal yang memiliki lebih 1,700 cawangan di seluruh dunia itu, menjangkakan ekonomi China dan India akan terus mencatatkan pertumbuhan mantap, sekali gus melonjakkan pendapatan boleh guna rakyat di negara berkenaan.



“Permintaan emas dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan pada separuh kedua tahun ini di Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, Brice berkata, kebimbangan terhadap pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) juga menyebabkan bank pusat di seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing, justeru menyokong harga komoditi itu terus didagangkan pada harga tinggi.

Sementara itu, tambah beliau, keadaan kadar faedah benar yang masih negatif di AS menawarkan persekitaran yang baik untuk emas.
“Sejarah membuktikan pulangan dalam pelaburan emas sangat tinggi ketika kadar faedah sebenar adalah negatif,” katanya.

Bekalan emas juga, katanya, dijangka mengalami kekangan dalam tempoh terdekat dan ia akan terus menyokong kenaikan harga komoditi itu.

“Kita jangkakan harga emas akan mencecah AS$2,100 pada 2014 dan AS$1,600 pada suku pertama 2012,” katanya.

Pada suku keempat tahun lalu, permintaan barang kemas di India dan China masing-masing meningkat sebanyak 52.8 peratus dan 31.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, permintaan barangan perhiasan emas global meningkat 8.5 peratus pada suku keempat lalu atau 575.2 tan berbanding tahun sebelumnya.

Pada akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

Mengenai pasaran saham Malaysia, Brice berkata, pihaknya amat positif dengan prestasi saham tempatan dalam tempoh terdekat kerana kebiasaannya pasaran saham akan mencatatkan prestasi yang baik pada Julai dan Ogos.

Beliau berkata, dengan jangkaan bahawa ekonomi global akan mencatatkan pemulihan pada separuh kedua tahun ini akan menyokong prestasi pasaran saham.


Sourcehttp://www.bharian.com.my/articles/HargaemasRM202_57segram/Article/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...