Sejak dari 6000 tahun dahulu lagi hinggalah zaman sekarang emas menjadi simbol kekayaan. Emas sememangnya bernilai untuk selama-lamanya, penyimpan nilai yang baik dan tidak boleh dibinasakan. Emas tidak terbakar, tidak reput, tidak berkarat dan sukar diperolehi serta sentiasa bersinar dan cantik.
Keistimewaan inilah menyebabkan emas diiktiraf sebagai sesuatu yang berharga dan bernilai dari dahulu hingga sekarang. Manusia sentiasa tertarik dengan emas dan mengiktiraf emas sebagai simbol kekayaan. Sejarah ketamadunan terkemuka dunia seperti Greek, Rom dan Parsi menggunakan emas dan perak sebagai mata wang mereka.
Sekitar 2600 tahun yang lalu Kerajaan Lydia mengeluarkan syiling emas pertama dunia, The Lydian Lion. Ini membuktikan bahawa sejak ribuan tahun dahulu manusia sudah tertarik kepada emas, mengiktiraf dan menggunakannya sebagai simbol kekayaan dan mata wang untuk urusan jual beli harian.